Tuesday, June 24, 2014

ROZA ROSLAN – BUKAN SEKADAR RESEPI (2012)


Penceritaan santai. Penuh pengisian. Sentiasa diselangi puji-pujian ke hadrat Ilahi. Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu akbar. Sehingga pembacanya juga ikut bertasbih, walaupun tanpa sedar. 3 minggu dalam simpanan. Kini tiba masa untuknya pulang menemui pemiliknya – Perpustakaan Negeri Kedah. Insya-Allah, jika dimudahkan rezeki, akan kubeli menggunakan baucer buku 1M yg masih utuh 5 keping dalam dompetku ini. Kerana sejarah yang dimiliki, membuatkan resepi tersebut kelihatan mengujakan untuk dicuba. Walaupun ada yang kelihatan biasa, seperti nasi goreng atau jemput2, namun sejarah di sebalik penemuan resepinya membuat diriku kagum. Terdetik juga untuk mengikut jejak beliau, mencatat resepi hasil tangan sendiri kurniaan Ilahi, seperti yang tercatit dalam dua buah diari resepi ‘keramat’ ibuku. Cuma yang terkurang hanyalah cerita di sebalik resepi. Sesungguhnya aku masih di bab pertama atau kedua dalam pengisahan cerita. Dan masih memasak untuk diri sendiri setiap hari. Tiada sensory evaluator tetap seperti Katie atau Emak, Mak Wa, dan Wan.

Labis::Kg. Paya Jakas, Jementah, Segamat:: Institut Teknologi MARA (ITM) Dungun::KL::Besut, Terengganu:: Dundee, Scotland, UK::Kuching::Bangor, North Wales, UK::Madinah al-Munawwarah

Kehidupan yang sangat berbeza. Antara aku dan beliau. Hidup serba sederhana. Bermastautin dari satu tempat ke satu tempat. Di dalam bukunya juga diakui, beliau dan suami telah menikmati pelbagai makanan penduduk tempatan di melebihi 20 negara yang berbeza. Berbeza sekali denganku, walaupun setelah hidup setua 22 tahun, hanya pernah menjejak ke sempadan Thailand, tidak pernah lagi menggunakan pasport antarabangsa. Beliau yang hanya sekitar 2x ganda umurku, telah mengharungi pelbagai pengalaman bermakna yang memberi pengajaran tersendiri. Begitu jua ibuku yang hampir seusia beliau, dilahirkan pada 1963.


Pun begitu,aku tertarik dengan frasa “Nikmat Allah yang mana satukah yang mahu kita dustakan?”. Walau membesar dalam serba kekurangan, dengan kehendak yang selalunya sangat sukar dipenuhi, mereka belajar berdikari, berdiri atas kaki sendiri, mencuba pelbagai alternatif yang akhirnya menerbitkan perkongsian ilmu yang bermanfaat. Di satu generasi lain pula, dari permulaan pandai bertatih sehingga ke menara gading, segala kehendak cuba dipenuhi. Disogok pula dengan rencana ilmu tanpa sempadan, yang kini hanya berada di hujung jari, tiada lagi istilah keseronokan dalam mencari ilmu. Segalanya tersedia di depan mata. Hanya perlu menaip dan klik ‘search’. Jadi, bagaimana pula dengan kesudahan generasi Y ini? Jawapannya kemungkinan besar sekali akan tertuai, pada generasi penyambung seterusnya. Apakah gaya dan lagak generasi tersebut pula, terserah kepada Allah Azzawajalla. Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...