Penceritaan
santai. Penuh pengisian. Sentiasa diselangi puji-pujian ke hadrat Ilahi.
Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu akbar. Sehingga pembacanya juga ikut
bertasbih, walaupun tanpa sedar. 3 minggu dalam simpanan. Kini tiba masa
untuknya pulang menemui pemiliknya – Perpustakaan Negeri Kedah. Insya-Allah,
jika dimudahkan rezeki, akan kubeli menggunakan baucer buku 1M yg masih utuh 5
keping dalam dompetku ini. Kerana sejarah yang dimiliki, membuatkan resepi tersebut
kelihatan mengujakan untuk dicuba. Walaupun ada yang kelihatan biasa, seperti
nasi goreng atau jemput2, namun sejarah di sebalik penemuan resepinya membuat
diriku kagum. Terdetik juga untuk mengikut jejak beliau, mencatat resepi hasil
tangan sendiri kurniaan Ilahi, seperti yang tercatit dalam dua buah diari
resepi ‘keramat’ ibuku. Cuma yang terkurang hanyalah cerita di sebalik resepi. Sesungguhnya
aku masih di bab pertama atau kedua dalam pengisahan cerita. Dan masih memasak
untuk diri sendiri setiap hari. Tiada sensory evaluator tetap seperti Katie
atau Emak, Mak Wa, dan Wan.
Labis::Kg.
Paya Jakas, Jementah, Segamat:: Institut Teknologi MARA (ITM) Dungun::KL::Besut,
Terengganu:: Dundee, Scotland, UK::Kuching::Bangor, North
Wales, UK::Madinah al-Munawwarah
Kehidupan
yang sangat berbeza. Antara aku dan beliau. Hidup serba sederhana. Bermastautin
dari satu tempat ke satu tempat. Di dalam bukunya juga diakui, beliau dan suami
telah menikmati pelbagai makanan penduduk tempatan di melebihi 20 negara yang
berbeza. Berbeza sekali denganku, walaupun setelah hidup setua 22 tahun, hanya
pernah menjejak ke sempadan Thailand, tidak pernah lagi menggunakan pasport
antarabangsa. Beliau yang hanya sekitar 2x ganda umurku, telah mengharungi
pelbagai pengalaman bermakna yang memberi pengajaran tersendiri. Begitu jua
ibuku yang hampir seusia beliau, dilahirkan pada 1963.
Pun
begitu,aku tertarik dengan frasa “Nikmat Allah yang mana satukah yang mahu kita
dustakan?”. Walau membesar dalam serba kekurangan, dengan kehendak yang
selalunya sangat sukar dipenuhi, mereka belajar berdikari, berdiri atas kaki
sendiri, mencuba pelbagai alternatif yang akhirnya menerbitkan perkongsian ilmu
yang bermanfaat. Di satu generasi lain pula, dari permulaan pandai bertatih
sehingga ke menara gading, segala kehendak cuba dipenuhi. Disogok pula dengan
rencana ilmu tanpa sempadan, yang kini hanya berada di hujung jari, tiada lagi
istilah keseronokan dalam mencari ilmu. Segalanya tersedia di depan mata. Hanya
perlu menaip dan klik ‘search’. Jadi, bagaimana pula dengan kesudahan generasi
Y ini? Jawapannya kemungkinan besar sekali akan tertuai, pada generasi
penyambung seterusnya. Apakah gaya dan lagak generasi tersebut pula, terserah
kepada Allah Azzawajalla. Wallahu’alam.
